Thursday, January 17, 2013

Fakta bersalin dalam air

Sumber: http://anizyn.blogspot.com/2012/03/fakta-mengenai-kaedah-bersalin-dalam.html

Fakta mengenai kaedah bersalin dalam air
* Ramai menganggap kemungkinan bayi dilahirkan boleh lemas di dalam air. Tanggapan itu salah kerana bayi baru dilahirkan tidak akan bernafas untuk beberapa saat. Ketika itu bayi pun akan terus disambut oleh bidan atau doktor.

* Mungkin ada yang geli kerana tab dipenuhi darah. Tanggapan itu tidak benar kerana darah ibu hanya akan keluar selepas uri dikeluarkan saja. Jadi air di dalam kolam bersalin akan bersih saja.

Bersalin Dalam Air

* Sementara menanti hendak bersalin dan apabila berada dalam air, tidak bermakna wanita itu tidak boleh keluar langsung daripada tab. Wanita itu boleh keluar seketika misalnya, jika terasa hendak buang air atau sudah bosan berada di dalam air. Malah, boleh keluar daripada tab untuk minum teh atau kopi, kemudian masuk semula.

* Pada peringkat akhir bersalin, air seolah-olah meningkatkan tenaga wanita.

* Apungan mengurangkan berat badan, membolehkan pergerakan bebas dan kedudukan serta menggalakkan pengecutan rahim yang lebih cekap dan peredaran darah lebih baik. Ia juga mengakibatkan pengoksigenan otot rahim yang lebih baik, kurang kesakitan untuk ibu dan lebih banyak oksigen untuk bayi.

* Air seolah-olah untuk mengurangkan hormon yang berkaitan dengan tekanan membolehkan badan ibu untuk menghasilkan endorfin. Air juga mampu untuk merehatkan mental dan menyediakan rasa privasi.

Sejarah kelahiran bayi dalam air

* Pada 1960-an seorang penyelidik Russia, Igor Charkovsky lakukan uji kaji keselamatan dan kemungkinan kebaikan bersalin dalam air, di Soviet Union.

* Pada penghujung 1960-an, pakar obstetrik Perancis, Frederick Leboyer membangunkan idea mengenai kebaikan amalan bayi yang baru lahir berada dalam air suam bagi membantu memudahkan peralihan bayi itu dari rahim ke dunia luar dan mengelakkan sebarang kemungkinan kesan trauma.

* Pakar obstetrik Perancis, Michel Odent mengambil satu lagi langkah ke hadapan apabila menggunakan kolam yang diisikan air suam bagi mengurangkan kesakitan ibu hamil dan cara proses kehamilan. Apabila sesetengah wanita enggan keluar daripada air sehingga bersalin, Odent mulakan penyelidikan mengenai kemungkinan kebaikan bagi bayi dilahirkan dalam air.

* Hanya pada penghujung 1990-an, kelahiran dalam air diperkenalkan dan kemudian menjadi popular di Eropah.

* Kelahiran bayi dalam air di Amerika Syarikat (AS) bermula apabila pasangan bersalin di rumah tetapi kemudian diperkenalkan di hospital.

* Pada 1990-an Hospital Komuniti Monadnock di Peterborough, New

* Pada 1990-an Hospital Komuniti Monadnock di Peterborough, New Hampshire menjadi hospital pertama di AS yang mewujudkan protokol bagi kelahiran bayi dalam air.

* Pada 2005 ada lebih 300 hospital di AS menawarkan kelahiran dalam air di hospital masing-masing.

* Lebih tiga suku hospital Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan di United Kingdom menyediakan pilihan itu bagi wanita bersalin dalam air.

* Hospital Island di Pulau Pinang adalah yang pertama di Malaysia memperkenalkan kaedah melahirkan anak dalam air. Kelahiran bayi lelaki pada pertengahan Februari seberat 3.64 kg itu diketuai Pakar Perunding Sakit Puan hospital itu, Dr Narinder Singh Shadan.

* Pada 14 Jun 2009, Hospital Pantai Kuala Lumpur mencipta sejarah, menjadi hospital pertama di Lembah Klang yang menjalankan kaedah bersalin dalam air. Dr Choong Kuo Hsiang bertanggung jawab mengetuai dan menyambut kelahiran bayi perempuan seberat 3.6 kg. Dengan kelahiran bayi berkenaan, menjadikan PHKL menjadi hospital kedua di negara ini yang memperkenalkan kaedah bersalin secara itu.

------------------------

Kaedah bersalin dalam air mungkin sudah banyak dipaparkan atau dihebahkan. Kaedah itu yang banyak diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia dan New Zealand kini mula mencuit perhatian dalam kalangan ibu mengandung di negara ini.

Bagaimanapun, masih ramai ragu-ragu untuk memilih kaedah seperti itu kerana terlalu banyak persoalan bermain di fikiran. Ada juga yang masih kabur dan kurang faham apakah maksud sebenar bersalin dalam air. Sehinggakan pelbagai imaginasi bermain di minda dan ada yang membayangkan beberapa perkara menakutkan akibatnya menimbulkan trauma pada diri sendiri.

Tahukah anda hampir semua wanita yang memilih dan pernah melalui pengalaman bersalin dalam air mengakui kaedah itu memberikan lebih keselesaan dan merehatkan sekali gus mengurangkan rasa kesakitan ketika bersalin.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Dr Choong Kuo Hsiang, berkata kaedah melahirkan anak dalam air diperkenalkan di hospital di Malaysia, pada 2008.
Dr Choong berkata, walaupun kaedah bersalin dalam air belum begitu meluas di negara ini, permintaan melahirkan kaedah cara itu semakin meningkat sejak tahun lalu. Bagaimanapun, di luar negara kaedah itu mula popular kepada wanita hamil, sekitar penghujung 1990-an.

Katanya, bersalin dalam air adalah salah satu alternatif bagi wanita hamil untuk bersalin mengikut kaedah yang difikirkan memberikan keselesaan serta disukainya.

"Kelahiran cara ini di Malaysia semakin diminati dan banyak permintaan. Di HPKL, dalam sebulan sekurang-kurang dua hingga tiga wanita hamil menyatakan hasrat untuk memilih bersalin dalam air. Jika dulu, kebanyakan yang memilihnya adalah wanita Inggeris menetap di Malaysia tetapi kini ada pelbagai kaum termasuk Melayu," katanya ketika ditemui di kliniknya, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Choong berkata, kaedah bersalin dalam air diperkenalkan di HPKL, berikutan adanya permintaan daripada pesakit sendiri dan mereka mahu merasai kelahiran yang selesa dan kurang kesakitan.

"Untuk memperkuatkan kenyataan itu, pesakit berkenaan turut menyertakan beberapa pandangan positif wanita lain yang berpengalaman bersalin dalam

air. Oleh kerana ada permintaan, HPKL membuat penyelidikan dan membentuk kumpulan perubatan khusus serta menyediakan kelengkapan yang diperlukan untuk menyambut proses kelahiran dalam air termasuklah menyediakan bilik bersalin yang dilengkapi kolam khas," katanya.

Beliau berkata, kaedah bersalin dalam air terbahagi kepada dua cara iaitu pertama, wanita hamil yang berendam dari awal dan sehingga bersalin dalam air manakala kedua, berendam untuk tempoh tertentu selagi mahu, tetapi kemudian beralih ke katil bagi melahirkan bayi. Kelengkapan utama disediakan bagi proses bersalin dalam air ialah bekas seperti tab mandian atau kolam kecil yang boleh memuatkan dua orang di dalamnya.

Mengenai andaian bersalin dalam air sebagai kaedah terbaik mengurangkan kesakitan bersalin, Dr Choong berkata, ia terpulang kepada individu itu sendiri untuk menentukannya.

"Bagaimanapun, beberapa pandangan dan maklum balas diberi menganggap kaedah itu begitu merehatkan diri. Wanita hamil yang berendam di dalam air menyatakan mereka berasa cukup selesa. Malah, apabila berada di dalam air wanita hamil berasakan dirinya lebih ringan kerana air itu menyokong berat badan dan memudahkan pergerakan. Mungkin kerana berasa rehat dan cukup selesa, wanita berkenaan merasakan tempohnya bersalin lebih cepat serta tidak begitu rasa sakit seperti bersalin di atas katil," kata Dr Choong yang sudah menyambut 26 bayi menggunakan kaedah itu.

Antara faedahnya, wanita hamil mudah mengubah kedudukannya. Hubungan ibu dan bayi bukan saja intim tetapi dalam keadaan amat peribadi. Ia mampu mengurangkan trauma kepada ibu pada saat bersalin serta mampu memberi satu persekitaran baru kepada bayi.

Risikonya pula, kata Dr Choong, ada beberapa laporan di luar negara menyatakan ada bayi lemas ketika bersalin melalui kaedah itu. Tidak kurang juga, jangkitan kepada bayi disebabkan air dalam kolam atau tab mandian digunakan ketika berendam serta kes tali pusat bayi terputus apabila ditarik. Bagaimanapun, ketiga-tiga risiko berkenaan adalah begitu rendah dan dikatakan amat jarang berlaku.


Sambung Baca: http://anizyn.blogspot.com/2012/03/fakta-mengenai-kaedah-bersalin-dalam.html#ixzz2IDtgRihP

1 comment: